Solat Tarawih berjemaah bidaah hasanah
SABDA Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Sesiapa mengerjakan solat malam dalam bulan Ramadan, sedang dia beriman serta mengharapkan rahmat Allah, akan diampunkan dosanya yang lalu.” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut ulama, solat malam atau dipanggil qiamullail membawa maksud menghayati setiap malam Ramadan dengan solat sunat, terutama solat Tarawih.
Perkataan 'Tarawih' ialah kata jamak dari perkataan tunggalnya 'tarwihah' yang bermakna berhenti rehat, kerana orang yang mengerjakan solat Tarawih berhenti sebentar setiap kali selesai mengerjakan empat rakaat dengan dua salam.
Solat Tarawih sunat hukumnya dikerjakan oleh lelaki dan perempuan. Ia boleh dilakukan di rumah seorang diri atau secara berjemaah, tetapi lebih baik dikerjakan berjemaah di masjid atau surau.
Dari Aisyah r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. pada suatu malam (dalam bulan Ramadan) ketika jauh malam keluar lalu solat di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum.
Pada keesokan harinya hebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersolat bersama-sama Baginda.
Keesokan harinya hebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang hadir ke masjid pada malam ketiga. Rasulullah s.a.w. keluar ke masjid lalu solat dengan diikuti oleh sidang jemaah.
Sampai malam keempat, penuh sesaklah masjid dengan jemaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan solat Subuh.
Selesai solat, Baginda menghadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebab Baginda tidak datang ke masjid mengerjakan solat Tarawih bersama), sabdanya:
“Amma Ba'du, sebenarnya tidak terlindung kepada aku mengenai kedudukan kamu (sebagai orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi aku bimbang (solat Tarawih) itu akan difardukan atas kamu, maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya.”
Sejak itu solat Tarawih tidak dikerjakan berjemaah tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, baik di rumah atau di masjid.
Keadaan ini berterusan sehingga pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a. barulah solat Tarawih dilakukan berjemaah di masjid menurut seorang imam yang dilantik oleh beliau sendiri.
Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: “Pada suatu malam dalam bulan Ramadan, saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid, tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan berasingan, ada orang yang solat seorang diri, ada pula yang solat lalu diikuti oleh beberapa orang.
(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: “Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam, tentulah amalan itu amatlah baiknya.”
Kemudian beliau mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.
Selepas itu, saya mengiringi Saiyidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang solat berimamkan imam mereka (yang terbabit).
(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata: “Amalan ini satu perbuatan bid'ah yang baik...” (Hadis Riwayat Bukhari)
Menurut huraian ulamak, perkataan 'bidaah yang baik' disebutkan oleh Saidina Umar r.a., ialah arahannya mengenai “solat Tarawih dengan berjemaah” selepas beliau menjadi khalifah Islam.
Saidina Umar mengaku arahannya itu 'bidaah' tetapi ia 'bid'ah yang baik' (bidaah hasanah) kerana dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijmak oleh sahabat Nabi yang ada pada zamannya serta diwarisi umat Islam.
Begitu pun dari segi bilangan rakaat ada banyak keterangan mengenainya. Tetapi menurut yang dipilih dan diamalkan kebanyakan ulama dari kalangan mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali ialah 20 rakaat berdasarkan amalan sahabat Nabi dalam zaman Saidina Umar.
Dari Al-Sa'ib bin Yazid r.a, katanya: “Mereka (sahabat-sahabat Nabi) biasanya mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadan - pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab, sebanyak 20 rakaat ..” ( Riwayat Baihaqi)
Imam Baihaqi menyebutkan satu hadis lagi yang diriwayatkan Imam Malik dan Yazid bin Ruman, katanya: “Biasanya orang ramai mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadan - pada zaman Saidina Umar r.a. sebanyak 23 rakaat ...”
Dalam ulasannya, Imam Baihaqi berkata: Kedua-dua hadis terbabit (tidak bercanggah) malah boleh disatukan kerana mereka mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat (seperti yang tersebut dalam hadis pertama), kemudian mereka mengerjakan solat Witir tiga rakaat (seperti yang tersebut dalam hadis kedua).
Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat ialah pilihan mazbab Syafie, Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis terbabit.
Menurut mazhab Maliki pula, pada mulanya solat Tarawih dikerjakan sebanyak 20 rakaat juga, kemudian ditambah 16 rakaat disertakan dengan tiga rakaat solat Witir menjadikan jumlahnya 39 rakaat.
Tetapi menurut sesetengah ulama rahimahullah, solat Tarawih boleh dikerjakan sebanyak lapan rakaat dan boleh dikerjakan sebanyak 20 rakaat.
Mengenai lapan rakaat, mereka menerangkan: Menurut beberapa hadis sahih, Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat Tarawih sebanyak lapan rakaat disertakan dengan tiga rakaat solat Witir.
Kata mereka lagi: Menurut hadis sahih, sahabat Nabi mengerjakannya sebanyak 20 rakaat dalam zaman Saidina Umar r.a.
Ada pula segolongan kecil yang terdorong membidaahkan amalan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat, kerana dakwa mereka hadis yang menjadi dalilnya bukan hadis sahih.
Ahli fiqah dan ahli hadis yang masyhur, menegaskan bahawa hadis terbabit sahih dan mereka menyajikannya dalam kitab mereka sebagai dalil bagi solat Tarawih sebanyak 20 rakaat yang mereka amalkan.
Di antaranya ialah Imam Syafie (lebih suka mengerjakan 20 rakaat solat Tarawih), Imam Nawawi (menerangkan dalam kitabnya bahawa menurut mazhab Syafie, bilangan rakaat solat Tarawih ialah 20 rakaat dengan 10 salam selain daripada (tiga rakaat) solat Witir).
Kesimpulannya, solat Tarawih 20 rakaat ialah 'sunnah sahabat Nabi' kerana ia dilakukan oleh Saidina Umar dan sahabat Nabi yang ada pada zamannya, termasuk Saidina Uthman dan Saidina Ali r.a.
Satu hadis riwayat Tirmidzi, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan (maksudnya): “Hendaklah kamu menurut sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah al-Rasyidin. (yang datang kemudian daripada aku).”
Apa pun, solat yang sempurna dan mendapat ganjaran ialah yang dikerjakan dengan tenang dan khusyuk, sempurna bacaannya dan sempurna segala-galanya, malah hati ikhlas beribadat kerana-Nya.
P/S: Semoga kita sesama mendapat keberkatan di bulan Ramadhan..InsyaAllah..
0 comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.